Gambar Hiasan
BANDUNG memang syurga beli-belah dan kota keempat terbesar di Indonesia itu sentiasa menjadi tarikan terutama warga Malaysia.
Sehari suntuk membeli-belah pun tidak cukup jika mahu menikmati salah satu terapi untuk merehatkan minda.
Barangan kilang adalah antara tarikan utama ke kota Bandung. Kebanyakan barangan tekstil adalah untuk eksport tetapi pengusaha mendirikan premis untuk menjual secara terus kepada pelanggan dan boleh tawar menawar.
Jika mahu mendapatkan barangan kilang, anda boleh mengunjungi gedung beli-belah di Jalan Riau, Jalan Sukajadi, Jalan Dago dan sekitar Jalan Setiabudi.
Antara yang terkenal ialah Heritage, Cascade, Summit, Oasis, Metropolitan, Secret, Terminal Tas, Edward Forrer, Stamp, Rumah Mode, Cargo, Cosmo dan Diaz.
Barangan kulit boleh didapati di Cibaduyut termasuk kasut, beg dan aksesori lain dengan harga murah dan berpatutan.
Jangan lupa mendapatkan beg buatan tangan jenama Elizabeth di Jalan Otto Iskandar Dinata.
Bandung juga terkenal dengan pelbagai aneka juadah tempatan dan antarabangsa, antaranya nasi padang, makanan Sunda, bakso, batagor, murtabak, soto, lotek, mi kocok, mi ayam, nasi timbel, mi naripan, laksa, sate dan nasi uduk hingga kepada minuman yang menyegarkan tekak.
Selepas seharian membeli-belah, anda mungkin mahu berehat. Apa kata kunjungi Gunung Tangkuban Perahu untuk melihat kawah gunung berapi yang masih aktif.
Alang-alang ke situ, singgah di kawasan air panas semula jadi di Sari Ater atau menikmati kesejukan air terjun Maribaya.
Jika punya waktu, singgah di Selatan Bandung, sekitar Pangalengan yang mempunyai suhu dingin dan terkenal dengan ladang teh.
Pastinya, segala gelora dan kekusutan yang melanda hilang dengan keindahan pemandangan disajikan sambil menikmati kehangatan teh atau melakukan aktiviti memancing di Kawah Putih.
Kota Bandung terkenal dengan bangunan lama seni bina Belanda antaranya Gedung Sate, Gedung Merdeka dan Muzium Asia-Afrika, Monumen Bandung Lautan Api, Muzium Geologi Bandung, Gedung Dwi Warna, Jalan Braga, Muzium Wangsit Mandala Siliwangi dan banyak lagi.
Justeru, pastikan anda sentiasa bersedia dengan kamera untuk mengabadikan kenangan berlatar belakangkan bangunan lama yang cukup bersejarah di Bandung.
Sumber: HMetro Online
0 comments:
Post a Comment