Friday, June 15, 2012

Ramalan Perkembangan Teknologi Di Malaysia Sepanjang 2012


Dengan berakhirnya tahun 2011, ramai yang sudah mula membuat azam dan sasaran baru untuk tahun 2012 ini. Seperti semua sedia maklum, sepanjang tahun 2011, dunia teknologi di Malaysia berkembang pesat dengan membawakan pelbagai perkara positif dan negatif kepada industri. Jadi, dengan bermulanya tahun 2012, apakah yang bakal dibawakan olehnya kelak kepada industri IT tempatan?

Perkembangan Telekomunikasi Dan Internet Jalur-Lebar

Dengan dunia yang berkembang pesat, dan kelajuan jalur-lebar yang semakin diutamakan, Malaysia turut sama akan menerima kesannya. Baru-baru ini juga, ia telah diumumkan yang mana kabel optik yang menghubungkan Batam-Dumai-Malaysia telah pun aktif.
Pada masa yang sama, dunia jalur-lebar berkelajuan tinggi akan terus meluas, dimana kawasan yang diliputi oleh UniFi akan terus bertambah dari hari ke hari. Selain daripada itu, P1 akan turut memasuki perkhidmatan jalur-lebar berkelajuan tinggi dengan menawarkan perkhidmatan tersebut dengan bekerjasama bersama-sama dengan pihak Telekom Malaysia.
Maxis pula akan terus mempromosikan perkhidmatan Maxis Home mereka, manakala Astro dan juga TIMEdotCOM masing-masing akan memperluaskan kawasan liputan untuk perkhidmatan Astro Byond IPTV.
Dari segi jalur-lebar mudah-alih pula, LTE akan mula dibangunkan secara berperingkat dari bulan- ke bulan. Sebelum ini, DiGi sendiri telah mulakan penaik-tarafan talian mereka, menjadikannya lebih stabil dan pantas. P1 pula telah mengumumkan yang mana mereka akan mula membangunkan LTE bermula suku tahun ke-4 tahun ini, manakala Maxis dan Celcom masing-masing telah pun mulakan ujian, dan dijangka akan membangunkannya secara serius sepanjang tahun ini.

Kandungan Berasaskan Video Meningkat Drastik

Pada tahun lepas, kita dapat melihat ramai yang mula menghasilkan video-video bebas, dan sepanjang tahun 2012 ini, kita akan dapat melihat angka tersebut bertambah dengan drastik lagi.
Bertambah mengukuhkan perkara ini adalah dimana Google sendiri disasarkan untuk melancarkan perkhidmatan YouTube Malaysia tidak lama lagi untuk pasaran tempatan. Sebelum ini, Google telah melancarkan YouTube Singapore, dan YouTube Fillipina, memperlihatkan pelancaran YouTube Malaysia tidak lama lagi.
Disamping itu, memandangkan informasi lebih mudah disampaikan melalui video, kandungan sebegini dijangka akan terus meningkat, apatah lagi masing-masing kini mempunyai peranti mudah-alih yang mampu merakamkan video dalam kualiti yang baik.

Industri Pembangunan Aplikasi, Animasi Dan Multimedia Terus Berkembang

Salah satu industri yang bakal berkembang pesat sepanjang tahun ini adalah industri kreatif dan multimedia yang meliputi pembangunan aplikasi mudah-alih, animasi dan sebagainya.
Sepanjang tahun lepas sendiri, kita dapat melihat perkembangan positif dalam industri ini, dan dengan ramai penganalisa yang mensasarkan perkembangan dunia mudah-alih yang drastik di rantau ini sepanjang 2012, mungkin kita akan dapat melihat lebih ramai pembangun tempatan menghasilkan pelbagai aplikasi mudah alih yang menarik.
Disamping itu, kita juga akan dapat melihat lebih banyak aplikasi popular dihasilkan dalam bahasa Malaysia, termasuk salah satunya adalah Mozilla Firefox yang semakin hampir pelancarannya. Mungkin lebih banyak aplikasi popular akan diperkenalkan dalam bahasa ibunda kita, sekaligus memberikannya impak yang lebih meluas kelak.
Dari segi dunia animasi pula, lebih banyak animasi baru dijangka akan dihasilkan, apatah lagi dengan sokongan kerajaan untuknya. Salah satu animasi baru yang disasarkan untuk dimainkan pada pawagam pada tahun ini adalah SeeFood. Les Copaque dan juga Animonsta masing-masing mungkin mempunyai agenda tersendiri untuk tahun 2012 ini.

Letusan Media Baru

Dengan perkembangan pertambahan penghasilan kandungan bergenre akan video, media-media baru juga dijangka akan bertambah dari bulan ke bulan. Apatah lagi, ia diura-ura akan yang mana pilihan raya dijangka akan diadakan sekitar tahun ini, yang mana secara tidak langsung akan membawakan kepada pertambahan pencarian kandungan pada internet, dan media-media baru yang memfokuskannya dijangka bertambah.
Selain itu, media yang berasaskan penghasilan kandungan berasaskan komuniti, seperti e-Parlimen dan sebagainya juga dijangka akan meningkat. Laman-laman komuniti dan sosial turut kami sasarkan untuk terus berkembang dengan drastik, dimana dengan pertambahan pengguna baru setiap hari yang melayari internet, lebih ramai mendahagakan kandungan untuk dibaca dan ditonton, sekaligus menyumbang kepada pertambahan ini.
Media cetak sedia ada juga disasarkan akan terus memfokuskan kepada industri atas-talian ini, dan memperkenalkan lebih banyak perkara baru kepada pembaca setia mereka. Sebelum ini, NSTP Media telah pun melancarkan aplikasi Android dan iOS mereka, dan mungkin perkara ini terus akan dilakukan oleh beberapa media terkemuka yang lain.

NFC dan Kod QR Terus Popular

Setiap hari, ramai pengguna menggunakan internet sebagai medan rujukan utama mereka, dan pada akhir tahun lepas, kita dapat melihat kod QR mula popular, dimana dalam iklan yang dikeluarkan, pada majalah, akhbar, malah pada akhbar ditepi jalan raya turut mula memfokuskan kepada kod QR.
Mungkin ianya akan terus popular sepanjang tahun ini, selain mana NFC juga akan turut mula mendapat perhatian. Nokia dan juga peranti Android telah pun mula membawakan sokongan NFC, selain Research In Motion turut mula menyokongnya melalui peranti BlackBerry baru mereka.
Bertambah lagi dengan adanya NFC Hub Malaysia, kepopularan NFC dijangka akan terus meningkat sepanjang tahun ini.

Akta, Privasi Dan Keselamatan

Salah satu isu yang hangat diperbincangkan dari hari ke hari adalah berkenaan dengan keselamatan di internet. Pada tahun lepas, kita dapat melihat pelbagai laman web tempatan samada popular ataupun tidak menjadi mangsa godaman.
Trend ini dijangka akan terus meningkat sepanjang tahun ini. Masalah beberapa agensi yang tidak menjaga dan menghirau akan perisian dan aplikasi yang digunakan mereka akan terus menyumbang kepada perkara ini, selain beberapa acara seperti sukan, politik dan sebagainya yang memberikan motif utama kepada perkara ini.
Kerajaan sendiri turut memperkenalkan beberapa perkara baru melalui pengenalan kad pengenalan baru dan juga duit baru yang akan mula digunakan pada tahun ini.
Pada masa yang sama, isu privasi akan terus hangat diperdebatkan, bertambah lagi dengan ramai yang suka untuk berkongsi segalanya di laman sosial pada hari ini.
Perbincangan mengenai akta-akta berkaitan dengan isu internet dan teknologi akan terus hangat sepanjang tahun, selain mana Akta Badan Perkomputeran Professional yang kini dalam peringkat draft pada masa ini.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ARTIKEL BUSUK