Monday, May 28, 2012

Imaginasi Rakaman Gayat Helicam







KELAINAN idea dan inspirasi ketika menghasilkan sesuatu karya video mahupun imej pegun di pasaran perkhidmatan multimedia sudah tentu mampu menarik perhatian orang ramai.

Apatah lagi, apabila ia dijalankan oleh kumpulan pengkarya kreatif yang mempunyai daya imaginasi tinggi, hasilnya tentu meninggalkan impak bermakna buat kelompok pelanggan yang disasarkan.
Ia tidak terbatas kepada penghasilan video atau imej pegun perkahwinan sahaja malah kreativiti tersebut boleh diguna pakai dalam pelbagai aspek penggambaran dan acara seperti majlis korporat, pelancaran produk, pembikinan video muzik dan sambutan majlis hari jadi.
Menyedari kepentingan ini, CST Production yang cukup terkenal dalam penghasilan video menggunakan kamera refleks lensa tunggal (DSLR) melangkah setapak lagi apabila memperkenalkan Team Gayat Helicam dalam pembikinan video dan pengimejan pegun.
Pengasas dan Pengarah CST Production, Rosli Mohamed, 31, berkata, dia memperkenalkan Team Gayat Helicam dalam pembikinan video dan pengimejan pegun untuk memberikan kelainan serta pembaharuan kepada pelanggan-pelanggannya.
“Team Gayat Helicam merupakan sebahagian daripada cabang CST Production yang menawarkan rakaman sudut tinggi kepada para pelanggan.


GAYAT Helicam kelihatan seakan-akan piring terbang mahkluk asing mengundang tanda tanya kepada orang ramai.



“Buat masa ini, saya dibantu dua lagi rakan iaitu Syed Kechik Syed Mahadi, 41, dan Mohd. Fadhli Badarudin, 34, dalam pengendalian jentera serba canggih ini,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Sungguhpun perkhidmatan Gayat Helicam itu baru sahaja diperkenalkan pada bulan Oktober tahun lalu, tetapi ia sudah mencuri tumpuan khalayak ramai apatah lagi ketika penggambaran dilakukan di tempat umum.
Ia terbukti apabila Kosmo! melihat beberapa kenderaan dan orang ramai sanggup berhenti semata-mata ingin melihat Gayat Helicam beraksi semasa sesi fotografi dilakukan di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Secara jujur, idea untuk menggunakan oktokopter ini telah dilontarkan pada tahun 2007 lagi untuk memastikan terdapat kelainan dalam pembikinan karya CST Production.
“Bagaimanapun, akibat kekangan kewangan, ia terpaksa ditangguhkan untuk mengumpul dana terlebih dahulu bagi merealisasikan impian ini,” ujar lelaki yang meminati jentera kawalan jauh itu.
Rosli menambah, sebuah Gayat Helicam tersebut boleh mencecah kira-kira RM60,000 sehingga RM70,000 malah pelbagai kajian dan penyelidikan telah dilakukan sebelum mula menggunakan jentera udara berkenaan.
Katanya lagi, dia dan dua orang lagi rakannya mengambil masa kira-kira sebulan untuk mempersiapkan oktokopter tersebut agar dapat beroperasi dengan baik.
Teknologi penstabil
Dalam pada itu, Syed Kechik menambah, Gayat Helicam menggunakan teknologi penstabilan giro.
“Pada kebiasaannya, teknologi ini digunakan dalam pengendalian kapal terbang dan helikopter. Kita menggunakan teknologi ini kerana apabila berada di awangan oktokopter ini perlu mempunyai penstabil untuk memastikan setiap rakaman video ataupun imej pegun tidak bergoyang.
“Tatkala berada di udara sudah tentu ada angin dan membuatkan oktokopter tersebut bergoyang. Dengan penggunaan teknologi giro ini, ia dapat memastikan kamera yang diletakkan di Gayat Helicam berfungsi dengan baik sekali gus memastikan kualiti rakaman,” ujarnya.


SKRIN rata penyiaran digunakan untuk melihat visual di udara yang dirakam Gayat Helicam.



Dia memberitahu, penstabilan dan gegaran merupakan dua aspek penting yang perlu diambil perhatian apabila melakukan penggambaran.
Tambahnya, perancangan teliti juga amat penting sebelum melakukan sesuatu rakaman kerana jentera itu mempunyai masa yang terhad apabila berada di udara.
“Apabila Gayat Helicam beroperasi, bateri hanya mampu bertahan selama kira-kira 10 hingga 12 minit sahaja membuatkan mereka perlu memastikan setiap masa tersebut digunakan sepenuhnya.
“Kami menggunakan dua biji bateri litium polimer atau dikenali sebagai li-po. Sebiji berkenaan mempunyai kapasiti 15 voltan sahaja dan ia boleh dicas semula.
Kalau diperhatikan pada rangka binaannya, Gayat Helicam tersebut kelihatan seperti sotong yang mempunyai lapan kaki.
Syed Kechik yang bertindak sebagai juruterbang Gayat Helicam menambah, kerangka jentera berkenaan diperbuat daripada kombinasi gentian karbon dan keluli ringan.
“Ia bagi memastikan jentera berkenaan kuat dan ringan apabila terbang di awangan. Lapan kipas yang terdapat pada Gayat Helicam pula diperbuat daripada plastik.
“Pemilihan kipas plastik bertujuan untuk keselamatan kerana apabila menggunakan Gayat Helicam kita akan melakukan penggambaran di tempat umum dan sebagainya. Kalau menggunakan kipas gentian karbon ia sudah pasti akan mengundang bahaya,” tegasnya lagi.
Pengendalian
Sementara itu, Mohd. Fadhli Badarudin, 34, berkata,
pengendalian jentera berkenaan memerlukan tiga tenaga kerja bagi melancarkan rakaman dilakukan di ruang udara.
“Dua orang akan mengendalikan kawalan jauh iaitu digital dan analog manakala seorang lagi bertindak sebagai pengarah memantau skrin rata rakaman.
“Kawalan jauh digital diguna pakai semasa mengendalikan Gayat Helicam. Analog pula dilakukan untuk mengawal kamera digital yang diletakkan pada jentera berkenaan,” katanya.
Bagi memperoleh visual, Mohd. Fadhli memberitahu, penggunaan sistem pemancar dan penerima diguna pakai untuk melihat rakaman yang bakal dilakukan melalui skrin rata.
Terdapat dua pilihan penggunaan skrin rata iaitu siaran ataupun menggunakan tablet bagi memudahkan lagi sesi penggambaran.
Perancangan


PERANCANGAN teliti perlu dilakukan sebelum memulakan penggambaran.



Rosli menambah, penggunaan Gayat Helicam tidak terhad kepada fotografi dan videografi tetapi boleh digunakan termasuk dalam pemantauan trafik, pemantauan keselamatan semasa bencana alam, pemetaan dan banyak lagi keperluan lain mengikut keadaan.
Katanya, perkhidmatan Gayat Helicam ditawarkan bermula pada harga RM3,000 ke atas. Ia bergantung kepada situasi penggambaran yang akan dilakukan kelak.
CST Production juga sedang dalam penyelidikan dan pembangunan untuk membikin helicam yang mampu menampung berat lebih tinggi untuk melebarkan lagi sayap dalam bidang berkenaan.
Untuk keterangan lanjut mengenai Gayat Helicam boleh melayari laman web cstproduction.com atau www.facebook.com/cstproduction.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ARTIKEL BUSUK