Tuesday, July 24, 2012

'Adam Hawa' Temukan Aaron Aziz & Nadiya Nisa

Global Station Sdn Bhd bakal menerbitkan drama bersiri 80 episod berjudul 'Adam Hawa' yang diangkat daripada novel hasil penulisan novelis terkenal, Aisya Sofea, bertajuk 'Adam & Hawa', terbitan Alaf 21.

Adam Hawa yang dibintangi pelakon hebat, Aaron Aziz dan Nadiya Nisa bakal disiarkan di saluran 134, Astro Mustika HD, pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam bermula 27 Ogos ini.

Penerbitnya, Datin Zaiton Muhd Jiwa berkata, Adam Hawa merupakan novel kedua yang diadaptasi oleh syarikat produksinya selepas 'Gemersik Kalbu' yang telah ditayangkan stesen televisyen TV3 beberapa bulan lalu.

"Adam Hawa bukanlah karya biasa yang ada dalam pasaran kerana novel ini ramai pengikutnya. Selain dapat mengetengahkan novel yang berkualiti, kami mahu beri satu peluang buat peminat novel ini untuk menonton cerita yang sama dalam bentuk visual," katanya.

Mengenai pemilihan barisan pelakon terlibat, Zaiton berkata, pandangan daripada pembaca novel Adam Hawa juga diambil untuk menentukan pelakon yang sesuai membintangi drama ini.

"Pemilihan pelakon adalah berdasarkan kesesuaian watak dan cadangan daripada pembaca, sedikit sebanyak membantu menjayakan drama ini,"katanya.

Selain Aaron dan Nadiya, barisan pelakon lain yang turut menjayakan Adam Hawa adalah Anzalna Nasir (Dee), Elfaeza Ul Haq (Azie), Dazrin
Kamarudin (Johan), Norman Hakim (Zul), Rozie Rashid (Kak Zah), Aznah Hamid (Maria), Amyza Adnan (Cikgu Zawyah), Lydiawati (Faridah) dan Puteri Sarah (Erin).

Bagi memenuhi jalan cerita novel ini, penggambaran turut dilakukan di beberapa lokasi di luar negara iaitu di Makkah dan Perth, Australia.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ARTIKEL BUSUK