Thursday, July 19, 2012

44 AHLI PARLIMEN ZIMBABWE BERKHATAN

1) Bersunat mengurangkan risiko dijangkiti HIV/AIDS

SEORANG doktor (kiri) bersedia untuk menjalankan prosedur berkhatan ke atas seorang ahli parlimen di dalam sebuah klinik sementara yang didirikan di luar bangunan Parlimen di Harare, Zimbabwe kelmarin.

HARARE – Seramai 44 orang ahli parlimen Zimbabwe mengambil bahagian dalam majlis bersunat secara beramai-ramai semalam sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran HIV/AIDS. Dalam satu perpaduan politik yang jarang berlaku, ahli parlimen daripada parti ZANU-PF pimpinan Presiden Robert Mugabe dan ahli parti pembangkang MDC berbual-bual ketika mereka beratur di luar sebuah klinik sementara yang didirikan di luar bangunan parlimen.
Pengerusi Ahli Parlimen menentang Aids, Blessing Chebundo memberitahu tindakan itu dibuat bagi menggalakkan rakyat untuk turut bersunat. Chebundo merupakan individu pertama menjalani prosedur yang mengambil masa selama sepuluh minit itu. Pengarah Unit Aids dan TB, Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Kanak-Kanak Zimbawe, Dr. Owen Mugurungi memuji semua ahli parlimen yang terlibat. Penyelidikan UNAids dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan bersunat boleh mengurangkan risiko penyebaran HIV dan Aids sehingga 60 peratus.
Sumber : Harian Metro  Posted on the June 24th, 2012

2) Khatan kanak-kanak lelaki satu serangan fizikal......?*&#@&^???
Gambar hiasan
BERLIN 27 Jun - Sebuah mahkamah Jerman semalam memutuskan bahawa amalan mengkhatankan kanak-kanak lelaki sebagai satu serangan fizikal, keputusan yang dianggap bertentangan dengan ajaran Islam. Keputusan tersebut dibuat oleh mahkamah daerah di Cologne, barat Jerman dengan meyatakan bahawa 'hak asasi kanak-kanak untuk dikhatankan melebihi hak asasi ibu bapa'.

"Ibu bapa perlu menunggu sehingga anak mereka memutuskan untuk dikhatankan," kata mahkamah. Kes tersebut dikemukakan terhadap seorang doktor  di Cologne yang mengkhatankan seorang kanak-kanak lelaki Islam atas permintaan ibu bapanya. Beberapa hari kemudian, kanak-kanak terbabit dibawa ke hospital kerana mengalami pendarahan teruk. Pihak pendakwa raya kemudian mendakwa doktor terbabit atas kesalahan menyebabkan kecederaan teruk. Namun, doktor itu dibebaskan atas alasan dia telah bertindak mengikut undang-undang dan prosedur mengkhatan dibuat atas persetujuan ibu bapa terbabit - AFP


3) Bersunat dalam Volkswagen

Garut, Jawa Barat - Kebiasaannya amalan berkhatan beramai-ramai dilakukan diklinik, hospital atau rumah dan sering melibatkan anggota bomba menyiram kanak-kanak yang terlibat sebelum disunatkan. Namun berbeza di Garut, Jawa Barat apabila sekumpulan 66 kanak-kanak dikhatankan dalam Volkswagen Beetle sempena sambutan ulang tahun khas polis, Bhayangkara yang ke-66. Ketua Polis Garut, Komisioner Besar Polis (AKBP) Enjang Hasan Kurnia berkata, kanak-kanak yang menyertai upacara sunat itu terdiri daripada penduduk daerah Karangpawitan, Tarogong, Garut Kota, Cibatu dan Banyuresmi.


"Kami mahukan sesuatu yang unik dan memutuskan untuk mengkhatankan kanak-kanak didalam kereta tersebut. Selepas kanak-kanak itu selesai dikhatankan, mereka diarak ke kawasan bandar menaiki kereta yang sama sebelum dihantar kerumah masing-masing." katanya kepada tribunnews.com. Katanya, upacara berkhatan beramai-ramai akan terus dilakukan diwilayah itu dan pihaknya telah bersetuju untuk mengkhatankan kira-kira 1,400 kanak-kanak dalam masa terdekat. - Agensi


4) Berkhatan kerana rakannya ramai Melayu

WAI HOONG (kanan) memberi kata-kata semangat kepada Jun Hau ketika dikhatankan oleh Dr. Shahrizal Azwan Samsudin di Shah Alam semalam. Turut kelihatan Wong, (dua dari kanan).
IKUT SAMA. Majlis berkhatan membabitkan 39 kanak-kanak anjuran Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka) di Wisma Rozali di Shah Alam semalam menjadi istimewa apabila salah seorang daripada mereka ialah budak Cina berusia tujuh tahun. Ng Jun Hau yang ditemani bapa, Ng Wai Hoong, 43, dan ibu, Pauline Wong, 37, tersenyum sepanjang tempoh berada dalam bilik berkhatan dengan dikendalikan oleh doktor Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru, Kuala Lumpur.
"Mula-mula saya rasa takut tetapi hari ini (semalam) rasa seronok," ujarnya. Wai Hoong berkata, keluarga mereka bersetuju mengkhatankan Jun Hau kerana selama ini mereka sering bergaul bersama masyarakat Melayu dan membuatkan dia rasa teruja untuk melibatkan anak lelaki tunggalnya itu dalam majlis tersebut. Katanya, selain faktor kebersihan, berkhatan juga sebenarnya baik untuk kesihatan.
Sumber Kosmo! Online 

  
5) Budak besar berkhatan jadi tumpuan ramai
Mohd. Aiman Hakimi Hanafi menjadi tumpuan ramai ketika dimandikan bersama-sama kanak-kanak lain pada Program Khatan Perdana Parlimen Baling, Kedah


BALING 26 Nov. - Seorang kanak-kanak, Mohd. Aiman Hakimi Hanafi, 11, bukan sahaja menjadi tumpuan kerana saiz badannya berbeza daripada kanak-kanak seusianya tetapi saat-saat dia dikhatankan juga menarik. Dengan berat badan kira-kira 115 kilogram, Mohd. Aiman terpaksa dikhatankan di atas katil mengusung pesakit bagi menggantikan katil biasa kerana dikhuatiri akan patah.

Mohd. Aiman yang merupakan murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Kampung Sadik dekat Kupang ditemani ibu bapanya, Hanafi Abdul Wahab, 39, dan Jamilah Awang, 31, agak gugup sebelum dikhatankan dalam majlis Khatan Perdana itu. Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim turut menemani Mohd. Aiman sambil mententeramkannya sebelum dikhatankan oleh Dr. Hamzah Abdul.

Sebanyak enam pembantu paramedik terpaksa dipanggil bagi mengawal kanak-kanak itu daripada meronta kesakitan. Majlis Khatan Perdana anjuran Kelab Putera 1Malaysia itu mendapat sambutan di luar dugaan apabila disertai hampir 400 kanak-kanak dari seluruh daerah itu. Abdul Azeez berkata, sambutan luar dugaan itu turut tidak mengambil kira idealogi mereka dan berlangsung selama dua hari dengan bantuan 30 doktor dan 20 paramedik dari seluruh negara.

Sumber : Utusan Online

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ARTIKEL BUSUK