Wajah muda, penampilan menarik, malah
petah berkata-kata. Itu daya penarik dimiliki Ahmad, lelaki didakwa
penggerak utama sebuah ajaran diragui hala tujunya dikenali Ajaran Ahmad
100.
Kelebihan dimiliki itu diguna sepenuhnya
Ahmad untuk mempopularkan ajarannya yang berpusat di sebuah kediaman di
Wangsa Maju, Kuala Lumpur menerusi gerak kerja merekrut pengikut
seluruh negara menerusi konsep ceramah berunsur agama dengan dilazatkan
dengan kata-kata manis berunsur nasihat.
Bergerak secara sulit menerusi beberapa
siri pertemuan rahsia di kediaman terbabit bagi mengelak dihidu pihak
berkuasa, misi Ahmad selaku penggerak utama ajaran tersebut ialah mahu
melahirkan 25 pengikut yang beriman selain bernafsu menikahi 13 wanita.
Pelik dan meragukan! Malah, menerusi
siasatan Sinar Harian berdasarkan maklumat diterima, Ajaran Ahmad 100
banyak mengetengahkan kelicikan dan kehebatan Ahmad bermain kata-kata.
Dalam erti kata lain, ‘ayat power’ Ahmad ini berjaya mempengaruhi ramai
pengikut hingga ada sanggup menggadaikan isteri semata-mata mahu menjadi
pengikut taat dan diberkati.
Berdasarkan pengakuan beberapa bekas
pengikut kepada Sinar Harian, mereka sanggup menyerahkan isteri
masing-masing sebagai pemuas nafsu Ahmad menerusi perkahwinan batin
selepas terpengaruh janji kurniaan keberkatan hidup di dunia dan
akhirat.
“Kami jahil agama, kami terpesona dengan
‘kejujuran’ Ahmad 100, tetapi akhirnya kami terpedaya, isteri kami jadi
mangsa nafsunya.” Itulah antara luahan kekesalan bekas pengikut
termasuk salah seorangnya mengalirkan air mata sedih berbaur kesal dalam
satu pertemuan dengan Sinar Harian, baru-baru ini.
Pada pertemuan itu juga, bekas pengikut
Ahmad 100 ini juga mendedahkan, isteri masing-masing diserahkan kepada
Ahmad untuk dikahwini secara batin dan sekiranya isteri mereka gagal
memikat dan menaikkan nafsu syahwatnya, Ahmad akan menceraikannya dan
dibuang daripada kumpulan dengan alasan dia tidak layak menjadi
pengikutnya.
Paling tidak masuk akal, Ahmad ini juga
didakwa mengelirukan pengikutnya apabila mengakui diri sebagai Imam
Mahdi yang mempunyai mukjizat boleh bertemu Malaikat, ALLAH serta
mendakwa dia adalah pemimpin alam jin menerusi wahyu diturunkan
kepadanya.
Rumah tangga hancur lebur
Salah seorang daripada bekas pengikutnya
yang dikenali sebagai Abu (bukan nama sebenar), kini terpaksa menerima
hakikat rumah tangganya musnah gara-gara ajaran sesat itu.
Abu berkata, pada awalnya dia tertarik
menyertai kumpulan itu selepas kagum dengan cara Ahmad yang
menasihatinya supaya menjadi orang diredai dan dikasihi ALLAH SWT.
“Kami bertemu di sebuah restoran pada
mulanya mahu membincangkan bab pengurusan kewangan dan kemudian bertukar
ke topik hukum merokok menyebabkan saya yakin dengannya kerana setiap
kata-katanya berlandaskan al-Quran malah dia anggap diri saya kafir dan
memerlukan bimbingan dan perlu menempuh ujian untuk menjadi seorang yang
beriman,” katanya.
Menurutnya, Ahmad yang ketika itu sudah
mempunyai dua isteri memberitahu, isteri Abu, Zawiyah, seorang yang baik
dan perlu berkahwin dengannya untuk mendapat keberkatan.
“Bermula pada saat itu, saya dan isteri
mula dipisahkan secara perlahan-lahan dan licik serta isteri saya
tinggal sebilik dengan Ahmad tahun lalu.
“Bagi Ahmad, tidur sebilik dengan isteri
saya adalah halal kerana ia adalah satu cara untuk menguji ketaatan
dirinya kepada Tuhan dan keadaan itu berlarutan selama setahun sebelum
isteri meminta cerai kerana tidak boleh meninggalkan Ahmad,” katanya.
Abu berkata, sebelum berpindah ke Kuala
Lumpur, isterinya sering berulang-alik dari rumahnya di Kedah ke Kuala
Lumpur untuk menemui Ahmad dengan menggunakan alasan belajar agama.
“Keadaan bertambah sukar apabila isteri
berubah dan menganggap Ahmad adalah segalanya dan sanggup meninggalkan
saya dan ibu bapanya semata-mata kerana lelaki itu,” katanya.
Dia mula menyedari bahawa ajaran Ahmad
terpesong, namun gagal berbuat apa-apa kerana setiap pergerakan
isterinya dipantau pengikut setia Ahmad.
Lebih memeritkan lagi, Ahmad turut
memaksa isterinya menggugurkan kandungan yang berusia 10 minggu dan
menetapkan dalil bahawa dirinya tidak boleh memiliki zuriat.
Abu berkata, dia turut dituduh membakar dua kereta milik Ahmad gara-gara cuba membawa Zawiyah pulang ke pangkuannya.
Tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku, dua laporan dibuat kepada
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan pada Februari lalu.
0 comments:
Post a Comment